Mulakan Amal Dalam Keluarga Sebelum Keluar Ke Masyarakat
Muslim hari ini, rata-ratanya memiliki masalah menghadapi cabaran mendidik ahli keluarga selaras dengan syariat agama.
Ada ibu bapa yang taat menutup aurat, tetapi anak-anak gadisnya berpakaian telanjang. Ada suami yang gigih keluar berdakwah mengajar di masjid-masjid, tetapi isteri suka menabur duri-duri fitnah kepada jiran tetangga.
Firman Allah SWT
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka... (At-Tahrim 66:6)
1. Sememangnya perkara paling sukar dan mencabar sekali untuk seorang muslim itu ialah jihad melawan hawa nafsu. Selalunya tewas apabila berlawan dengan nafsu sendiri. Namun, muslim yang memiliki kesabaran dan ketakwaan yang tinggi dapat menguasai nafsunya sendiri di bawah bimbingan dan hidayah Allah.
2. Kedua, perkara yang mencabar juga ialah mendidik ahli keluarga selaras dengan syariat Allah.
3. Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk memulakan dakwahnya dengan muwajahah silmiyah iaitu berdakwah secara berlemah lembut dan berhikmah secara berdepan-depan dalam kalangan ahli keluarganya terlebih dahulu. Hal ini kerana, penerimaan mereka akan memudahkan perjalanan dakwah nabi pada peringkat seterusnya.
4. Tidak semua ahli keluarga dan kaum kerabat menerima dakwah baginda. Bapa saudaranya menentang kuat seruannya. Walaupun begitu, baginda tetap mendapat kekuatan melalui dokongan ahli keluarga yang menerima Islam.
5. Namun begitu, tidak seharusnya seorang muslim itu berputus asa menegur dan mendidik ahli keluarganya agar berakhlak dan beramal dengan ajaran Islam sebaiknya.
6. Ingatlah bahawa keadaan ketika di akhirat, akan adanya situasi dimana yang berkasih menjadi musuh, yang berkeluarga menjadi cerai-berai. Semuanya kerana amanah yang tidak dilaksanakan dengan sebaiknya.
Mahukah ibu dipersalahkan oleh anak kerana tidak mendidiknya membaca al-Quran di hadapan Allah kelak?
Mahukah ayah ditunding jari kerana tidak dibelikan kain tudung untuk anak gadisnya ketika hisab di mahkamah Allah?
Berilah peringatan serta amaran kepada ahli keluarga terdekatmu
Ulasan
Catat Ulasan